Saham KL Ditutup Tinggi


HARGA saham di Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini berikutan aktiviti membeli saham berharga murah sejajar dengan kekukuhan pasaran saham serantau.

Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.31 mata untuk ditutup kepada 1,820.48, selepas berlegar antara 1,816.85 dan 1,821.69.

Pasaran saham Asia Tenggara mencatatkan lantunan semula sederhana, menjejaki kekukuhan saham ekuiti AS apabila Wall Street tidak menunjukkan kebimbangan akan dasar Rizab Persekutuan, baru-baru ini.

Sementara itu, dalam negara, Jabatan Perangkaan mengeluarkan data indeks harga pengguna (IHP) bagi Februari, yang menunjukkan peningkatan 3.5 peratus daripada bulan yang sama tahun lalu.

Mengulas mengenai data tersebut, Naib Presiden/Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan, berkata kenaikan itu telah dijangkakan oleh pelabur, apabila Bank Negara Malaysia dalam laporan tahunannya pada Rabu mengunjurkan inflasi berkembang sebanyak tiga hingga empat peratus tahun ini.

“Peningkatan IHP sepatutnya bukan satu masalah kerana ia masih rendah berbanding unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 4.5 hingga 5.5 peratus tahun ini,” katanya.
Beliau berkata inflasi sederhana dan unjuran KDNK kukuh seharusnya memberi sedikit sokongan untuk menstabilkan sentimen pasaran saham.

Di papan skor, Indeks Kewangan naik 28.42 mata kepada 16,439.06 dan Indeks Perusahaan meningkat 4.34 mata kepada 3,166.91, manakala Indeks Perladangan susut 5.74 mata kepada 8,839.16.

Indeks FBM Emas menambah 24.38 mata kepada 12,617.45, Indeks FBMT100 menokok 20.979 mata kepada 12,281.51, FBM Ace melonjak 100.75 mata kepada 6,686.98 dan FBM 70 naik 44.66 mata kepada 13,859.21.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 439 berbanding 328, manakala 322 kaunter tidak berubah, 533 tidak diniagakan dan 28 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 1.75 bilion saham bernilai RM3.12 bilion daripada 1.51 bilion saham bernilai RM1.85 bilion semalam.

Dalam kalangan kaunter cergas, Ingenuity dan Xidelang naik satu sen setiap satu masing-masing kepada 11.5 sen dan 36 sen, Masterskill meningkat 13.5 sen kepada 54 sen, MISC naik sembilan sen kepada RM7.01 dan Sumatec menambah setengah sen kepada 30 sen.
Bagi saham wajaran tinggi, Maybank naik tiga sen kepada RM9.56, manakala Sime Darby dan Axiata tidak berubah masing-masing kepada RM9.20 dan RM6.52.

TNB susut empat sen kepada RM11.92 dan CIMB turun dua sen kepada RM7.08.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.3 bilion unit bernilai RM3 bilion daripada 1.06 bilion unit bernilai RM1.71 bilion semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE jatuh kepada 425.04 juta saham bernilai RM119.18 juta daripada 432.79 juta saham bernilai RM135.77 juta pada Khamis.
Waran meningkat kepada 22.23 juta unit bernilai RM3.2 juta daripada 14.97 juta unit bernilai RM1.66 juta sebelumnya.

Barangan pengguna menyumbang 154.15 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan 179.96 juta, pembinaan 67.32 juta, perdagangan dan perkhidmatan 552.71 juta, teknologi 33.85 juta, prasarana 27.22 juta, SPAC 17.4 juta, kewangan 84.13 juta, hotel 400,300, hartanah 124.99 juta, perladangan 35.58 juta, perlombongan 15,500, REITs 24.65 juta dan dana tertutup 69,500. – MediaOnline